Lapan PATI yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tawau
Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU : Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau berjaya menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Pluto Timur di kawasan perairan Kinabutan, Tawau pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot peronda Zon Maritim Tawau telah mengesan sebuah pam bot dengan nombor pendaftaran yang kelihatan mencurigakan pada jam lebih kurang 8.48 malam.
Pihak Maritim Malaysia Tawau mensyaki pam bot terbabit menyusup keluar ke Filipina dari daerah ini dengan melalui laluan yang tidak diwartakan, kata Siva Kumar.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan lelaki dan tujuh penumpang terdiri daripada enam lelaki dewasa dan dua wanita disyaki warga Filipina masing-masing berumur antara 12 hingga 63 tahun,” kata Siva Kumar.
Kesemua yang diperiksa gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Pemeriksaan lanjut turut berjaya menemukan 40 muatan karung berisi baja jenis Ammonium Nitrate yang cuba disembunyikan dalam 18 unit karung Palmata Oleo dan 22 unit karung Lotte Chemical Titan.
Turut ditemui 9 muatan tong jerry can berisi minyak petrol dianggarkan 180 liter dan 3 tong gas petroluem cecair (LPG). Kesemua muatan yang dirampas termasuk pam bot dan 3 unit enjin pam bot dianggarkan bernilai lebih kurang RM14,000, katanya lagi.
Beliau berkata, kesemua yang diperiksa ditangkap manakala pam bot, enjin dan barang muatan ditahan lalu dibawa masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (JPDS) kerana dipercayai cuba menyusup keluar dari daerah ini secara tidak sah menuju ke Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut beliau lagi, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.
Sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di perairan Tawau boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau melalui talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK