POLIS LAHAD DATU TAHAN 93 INDIVIDU BERKAIT JENAYAH PERJUDIAN

LAHAD DATU:  Polis daerah ini berjaya membuat 93 tangkapan daripada 52 serbuan dalam usaha membanteras kegiatan judi tanpa lesen merangkumi judi dalam talian, loteri awam termasuk sabung ayam sejak Januari sehingga 10 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor dalam semua serbuan itu turut dirampas wang RM7,658 dan 67 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 36 unit peralatan elektronik serta 107 unit lain-lain peralatan perjudian selain 25 ekor ayam sabung.

“Tindakan pelupusan ke atas barang-barang rampasan akan dilaksanakan sebagaimana peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nasri berkata bagi mengekang aktiviti perjudian di daerah ini secara menyeluruh, pihaknya mengambil tindakan melalui Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) bertujuan untuk menangkap penganjur perjudian.

Setakat ini, lima kertas siasatan dibuka ke atas individu yang dikenalpasti dan seorang lelaki sudah diambil tindakan di bawah Seksyen 15 akta berkenaan.

“Polis tidak menolak kemungkinan masih wujud aktiviti perjudian tanpa lesen di daerah ini namun kita akan terus membanteras dengan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Nasri berkata, polis juga akan membuka kertas siasatan berhubung kejadian kebocoran gas asetilena di sebuah kilang besi buruk sehingga menyebabkan lapan individu dimasukkan ke Hospital Lahad Datu pada Isnin lepas.

“Bagi kes ini, polis akan membuat siasatan secara terperinci, saya sudah arah pegawai untuk buka siasatan di bawah Seksyen 284 Kanun Keseksaan yang mana kecuaian melibatkan apa-apa jenis racun.

“Siasatan masih dijalankan dan polis akan panggil beberapa orang untuk rakaman percakapan, dan sebelum kertas dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya lagi.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman maksimum enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Menurut Nasri ketika ini, dua mangsa lelaki berumur 35 dan 37 tahun masih mendapatkan rawatan di hospital, manakala enam lagi mangsa telah dibenarkan keluar wad.Pada Isnin lepas, lapan individu termasuk dua kanak-kanak dan tiga wanita dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas asetilena yang bocor di sebuah kilang besi buruk di Jalan Dam 8 di Lahad Datu, kira-kira 9.55 pagi.