Masih belum sampai gelombang keempat bah, kata menteri kesihatan

Negara masih lagi mengharungi gelombang ketiga wabak Covid-19 dan belum memasuki gelombang keempat, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Sesuatu penularan hanya dianggap gelombang seterusnya sekiranya jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat kes sifar selama beberapa hari sebelum berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak, kata beliau.

“Sejak tiga minggu kebelakangan ini kes yang kita rekodkan (dalam gelombang ketiga) tidak menurun.

“Gelombang keempat Covid-19 hanya boleh berlaku sekiranya gelombang ketiga telah sampai (dapat diturunkan) ke ‘baseline’ atau direkodkan hingga sifar dan kemudian ia (penularan) bermula semula,” kata beliau ketika ditemui Bernama di Surau As-Syakirin, Taman Sri Saujana, Kota Tinggi hari ini.

Beliau berkata, negara boleh mengalami gelombang keempat Covid-19 sekiranya kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terus merosot sehingga wujud kluster baharu.

“Antara faktor menyebabkan kes meningkat ketika ini, kita lihat terdapat aktiviti pada awal April, seperti majlis perkahwinan, perjumpaan, keramaian termasuk mobilisasi menghantar anak pulang merentas negeri, antaranya ke sekolah dan universiti,” kata beliau.

Negara mengalami gelombang ketiga wabak pada September tahun lalu dengan kes harian meningkat kepada empat angka bermula 24 Okt, iaitu sebanyak 1,228 kes.

Semalam, sebanyak 2,551 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara.

Sementara itu, ketika mengulas kebimbangan peningkatan kes susulan kegagalan pematuhan SOP di bazar Ramadan, Adham berkata pihak berkuasa tempatan telah diberi kuasa untuk mengenakan kompaun kepada individu yang melanggar SOP.

Kata beliau, kompaun ini bukan bersifat menghukum, dan berharap ia dapat mendidik orang ramai supaya tidak melanggar SOP, kerana lebih sekatan hanya akan menjejaskan ekonomi peniaga kecil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *