MAYAT SEORANG BAYI DITEMUI DI SEMPORNA

Oleh Faizal Rahman

SEMPORNA: Seorang pekerja ladang menemui mayat seorang bayi di sebuah pondok di belakang rumah kongsinya di sebuah ladang kelapa sawti dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Supt Sabarudin Rahmat berkata pekerja itu terhidu bau busuk yang kuat yang datang dari arah belakang rumahnya dan bertindak mencari sumber tersebut sebelum menemui mayat bayi pada pukul 7.30 pagi.

Pekerja berkenaan kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengurus ladang sebelum melaporkan kepada pihak polis, tambah Sabarudin.

Menurut Sabarudin,  jantina bayi masih belum diketahui dan usaha mengesan saspek sedang dijalankan. Mayat bayi dengan fizikal yang tidak lengkap, telah dibawa ke Hospital Semporna sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

Pihak polis klasifikasikan kes sebagai buang bayi dan membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.