Anggota polis sedang mengangkat mayat saspek ke sebuah kenderaan polis untuk dihantar ke hospital.
Oleh Faizal Rahman
LAHAD DATU: Polis di sini menembak mati seorang penjenayah yang menyerang mereka dengan sebilah pedang di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran belakang sebuah taman perumahan di Jalan POIC awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor berkata bahawa saspek yang berumur 28 tahun merupakan seorang warga asing yang dikehendaki polis bersabit beberapa kes samun, pecah rumah dan curi di Lahad Datu.
“Pihak kami yakin telah dapat menyelesaikan 13 kes jenayah iaitu samun (6), samun dalam rumah (1), pecah rumah (3) dan lain-lain kes curi (3) yang dilakukan secara berseorangan di daerah Lahad Datu ini,” tambah Nasri.
Dalam kejadian jam 3.20 pagi , sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Strike Team telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat berhubung insiden cubaan samun dan pecah rumah di taman perumahan tersebut, kata beliau.
Anggota polis telah terserempak dengan saspek di kawasan ladang kelapa sawit dibelakang taman perumahan berkenaan dalam keadaan mencurigakan sambil memakai topeng dan bersenjatakan sebilah pedang, kata Nasri.
Saspek terus melarikan diri ke dalam kawasan kebun sawit apabila anggota polis memperkenalkan diri dan menghampirinya untuk pemeriksaan. Saspek enggan berhenti walaupun diarahkan anggota polis yang mengejarnya, kata Nasri.
Menurut Nasri, saspek kemudian bertindak melibas-libas samurai ke arah anggota polis selepas didekati oleh mereka. Dalam keadaan mengancam nyawa dalam jarak yang dekat, anggota polis telah melepaskan dua das tembakan ke arah saspek hingga menyebabkan dia rebah dan meninggal dunia di lokasi.
Pasukan polis turut menemui sebilah pedang berukuran 29 inci panjang yang digunakan oleh saspek dalam insiden tersebut. Mayat saspek kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, kata Nasri.
Siasatan awal polis mendapati saspek pernah dipenjara selama 6 bulan pada tahun 2017 di bawah kesalahan Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63, kata Nasri lagi.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK