MAYAT WANITA BERHAMPIRAN MEGALONG

PENAMPANG: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan terbaring di lorong belakang bangunan kompleks beli-belah Megalong, di sini, malam tadi.

Mayat wanita berusia 33 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis pada jam 7.18 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima maklumat daripada orang awam, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati seorang wanita ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan di tempat kejadian.

“Punca kematian belum dikenal pasti dan mangsa bukan terjatuh dari bangunan kerana pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan teruk atau mangsa mengalami patah tulang.

“Bagaimanapun mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa adalah warga asing.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.