MAYAT WARGA EMAS TERAPUNG

KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui terapung di kawasan perairan berhampiran bangunan Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mayat berusia 78 tahun itu ditemui terapung oleh orang ramai kira-kira jam 5.30 petang sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai nelayan.

“Kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya yang membuat laporan polis kira-kira jam 11 pagi sebelum penemuan mangsa.

“Mangsa dikatakan keluar menangkap ikan, kira-kira jam 5.30 pagi sehari sebelum itu dipercayai di kawasan pelabuhan, Tanjung Lipat, namun tidak pulang ke rumah selepas sehari,” katanya.

Habibi berkata, mayat mangsa dikenalpasti oleh anak lelakinya berusia 36 tahun yang membuat pengecaman mangsa melalui gambar dan pakaian mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Jesselton Point, di sini, oleh Bot Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan selanjutnya.

“Seramai empat pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melakukan proses nyah kuman mangsa bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE I ) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Habibi berkata, proses bedah siasat juga akan dijalankan sejurus mendapat keputusan saringan Covid-19.

Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *