EMPAT DITAHAN CEROBOH PELANTAR MINYAK

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan empat lelaki kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan di pelantar minyak Malikai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, keempat-empat lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan selepas didapati melakukan aktiviti memancing di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh berkata, tangkapan berjaya dilakukan dalam Op Gelora Khas dan Op Benteng Covid-19 di kawasan berkenaan.

Katanya, semua empat individu berkenaan yang menaiki dua bot itu ditahan di kawasan perairan pelantar minyak berkenaan.

“Dua lelaki dilihat memancing ikan menggunakan sebuah bot tidak bernombor berhampiran pelantar minyak Malikai manakala sebuah lagi bot juga tidak bernombor diikat pada tiang platform pelantar minyak itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, empat individu itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Enturan berkata, dua bot berkenaan kemudiannya ditunda ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM37,370.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan jika didapati bersalah, keempat-empat lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.-