MIDA gamit pelaburan ke dalam industri automotif Malaysia

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Trend dipacu teknologi seperti mobiliti pelbagai, pemanduan automatik, langkah ke arah kenderaan elektrik dan jaringan hubungan akan mendasari industri automotif dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pendigitalan dan model perniagaan yang baharu dan mempunyai potensi disruptif akan terus merevolusikan dunia, kata agensi itu sambil menggesa pelabur untuk merebut peluang yang semakin meningkat dalam industri itu.

“Masa depan industri dipenuhi pelbagai peluang dan cabaran. Para pelabur berpotensi boleh menjangkakan Malaysia berada di landasan itu, dan perlu memanfaatkan peluang itu,” kata MIDA dalam Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Ia mengambil perhatian pergantungan yang semakin meningkat terhadap sistem berasaskan perisian, seperti yang terdapat dalam kenderaan automatik, memerlukan sistem kereta dinaik taraf.

Perisian dalam kereta digunakan dalam penyampaian pelbagai ciri dan perkhidmatan, termasuk perkhidmatan mobiliti, keselamatan lebih baik, sistem kedudukan global dan perkhidmatan berasaskan lokasi lain, hiburan dalam kereta, dan diagnostik/analisis kawalan jauh.

Oleh itu, kualiti perisian dan keselamatan telah menjadi satu daripada faktor paling penting bagi peneraju industri, kata MIDA.

“Subsektor automotif tempatan kini memerlukan lebih banyak pembekal untuk mengeluarkan alat ganti dan komponen automotif dalam skala yang diperlukan,” kata agensi itu, sambil menambah bahawa industri menghadapi pelbagai cabaran, seperti rangkaian hubungan dan komponen yang hilang dalam ekosistem automotif sedia ada.

Bagi pelabur yang merancang untuk menghasilkan komponen/sistem automotif penting, MIDA menyediakan insentif dalam bentuk status perintis dan elaun cukai pelaburan untuk tempoh antara lima hingga 10 tahun.

Pada 2018, industri automotif menyaksikan sebanyak 47 projek yang diluluskan dengan pelaburan bernilai RM1 bilion. Pelaburan domestik langsung terdiri daripada dua pertiga daripada semua pelaburan, berjumlah RM682 juta, manakala pelaburan langsung asing bernilai RM354 juta, atau 35 peratus.

MIDA berkata projek-projek yang diluluskan dijangka mewujudkan pekerjaan untuk 2,119 orang.

— BERNAMA



[ad_2]