Mohd. Shafie: RI 4.0 tidak jejas komitmen Sabah wujudkan peluang pekerjaan

KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) — Komitmen Kerajaan Negeri untuk tidak ketinggalan dalam Revolusi Industri 4.0 tidak akan menjejaskan tumpuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata Kerajaan Negeri akan melihat sektor sesuai yang menumpukan pelaksanaan revolusi industri 4.0 ini dan pada masa sama mewujudkan peluang pekerjaan terus diberi keutamaan.

“Kita sedar ada 5,000 pelajar keluar universiti setiap tahun dan di mana mereka hendak mendapat kerja sekiranya sebahagian besar sektor memberi tumpuan tenaga pekerja menggunakan mesin.

“Ini perlu kita seimbangkan untuk mempastikan peluang pekerjaan terus wujud tetapi pada masa sama tidak mahu kita ketinggalan dalam revolusi industri 4.0,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium IT Sabah di sini, hari ini.

Pada majlis itu turut diadakan pertukaran dokumen kerjasama industri antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) diwakili Naib Cancelornya Prof Dr Taufik Yap Yun Hin dengan wakil dari Cybersecurity Malaysia, Celcom Timur Sabah Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, NEM Malaysia Sdn Bhd, Fusionex Innovation dan MISA Sdn Bhd.

Simposium dua hari itu dianjurkan bersama oleh Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah dan SABAH.NET.

Mohd Shafie berkata, Kerajaan Negeri sedar revolusi industri 4.0 ini perlu diketahui dan terbabit secara langsung.

“Kalau tidak usaha untuk membangunkan negara dan negeri Sabah sebagai sebuah negara dan negeri industri akan ketinggalan. Ini berlaku kerana sistem yang ada akan lapuk dalam masa pendek dan memerlukan adaptasi ilmu dan pengetahuan dalam industri ini,” katanya.

Kerajaan Negeri juga memberi perhatian terhadap penyediaan prasarana yang diperlukan untuk memenuhi keperluan revolusi industri 4.0 berkaitan Teknologi Maklumat (IT).

Katanya, prasarana itu disediakan menerusi SABAH.NET dan Warisan Harta Sabah yang memainkan peranan untuk mempastikan prasarana disedia ini dapat memberi manfaat kepada pemain revolusi industri 4.0. — BERNAMA