PEKAN BAHARU ULU DUSUN MERANCAKKAN EKONOMI DAN MEWUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN

Zakaria (tengah) menyampaikan hamper kepada salah seorang penduduk kampung semasa program di Dewan Perhutanan Sepilok

SANDAKAN : Kerajaan Negeri diharap agar dapat meneruskan pelaksanaan bagi cadangan pembangunan Pekan Baharu Ulu Dusun, di Batu 32 Sandakan.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata, ini kerana pewujudan pekan baharu tersebut penting, khususnya dalam merancakkan kegiatan ekonomi penduduk setempat.

Ia sekaligus diyakini mampu menjadikan pekan berkenaan sebagai pusat persinggahan utama  pengguna jalan raya bagi laluan Kota Kinabalu – Tawau dan Kota Kinabalu –  Sandakan.

Beliau menyatakan demikian kepada media pada Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin Zon Sandala di Dewan Perhutanan Sepilok, Batu 14 Jalan Labuk baru-baru ini.

Ketika ini kawasan tersebut sudah dibangunkan dengan kemudahan Agro Bazaar, Stesen Penguatkuasa JPJ Batu 32, serta stesen minyak Petronas.

Majlis pecah tanah bagi pewujudan pekan baharu berkenaan telah dilakukan pada 2 Oktober 2017, namun sehingga kini masih belum ada sebarang kerja-kerja pembangunan dilaksanakan.

Mengikut rekod, pembangunan bagi fasa pertama melibatkan jumlah peruntukkan RM 6 juta.

Terdahulu, Zakaria ketika berucap mengajak semua kepimpinan dalam parlimen Libaran untuk mempertahankan kemerdekaan negara seperti yang diperjuangkan oleh kepimpinan terdahulu.

Ini kerana katanya, pengorbanan kepimpinan terdahulu khususnya Tunku Abdul Rahman boleh dijadikan sebagai contoh kepada kesepaduan masyarakat pelbagai kaum.