[ad_1]
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata ini kerana terdapat pameran yang menyediakan pelbagai platform dan aktiviti untuk pengunjung menerokai serta memahami perjalanan pelaburan mereka menerusi penganjuran MSAM itu.
“Saya rasa ada impaknya (penganjuran MSAM menjadikan rakyat celik tentang pendidikan pelaburan dan perancangan kewangan). Saya rasa memang ramai sudah tahu pendidikan kewangan adalah amat penting dan membuat pelaburan daripada awal kerja lagi secara konsisten untuk mereka serta masa depan keluarga.
“Tetapi saya rasa kita (juga) perlu lebihkan lagi pendidikan kewangan ini sebab ramai masih belum faham buat pelaburan memang ada risikonya. Apabila pasaran baik mungkin pulangan lebih tinggi tetapi kalau pasaran itu amat mencabar, kemungkinan pulangan itu berkurangan sikit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara pelepasan ’ MSAM Walk 2019’ yang disertai hampir 5,000 peserta di sini hari ini. Ia disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Mohd Firdaus Ahmad.
MSAM Walk sejauh 3.3 kilometer itu dianjurkan sempena penganjuran MSAM yang masuk edisi ke-20 tahun ini anjuran PNB dengan dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 25 April nanti di sini dan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 April.
Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaburan mereka pada penganjuran MSAM kali ini sekali gus mereka boleh memahami dengan lebih jelas tentang setiap risiko yang ada daripada segi pulangan pelaburan itu.
“Kita rasa perlu titik beratkan (hal memahami risiko pulangan pelaburan itu)…penganjuran MSAM di Kedah ini merupakan kali kedua, kali pertama dulu sekitar 2002, kita buat di Alor Setar dengan kehadiran 160,000 pengunjung. Jadi, pada penganjuran kali ini kita sasarkan seramai 160,000 pengunjung juga yang akan memeriahkan MSAM ini di Sungai Petani.
“MSAM 2019 juga menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung termasuk sebuah Perodua Aruz, sebuah motosikal Honda Dash dan sebuah iPhone. Untuk e-Peraduan pula, pengunjung berpeluang memenangi sebuah Ford Ranger 2.2L XLT, sebuah Toyota Vios 1.5G dan sebuah motosikal Yamaha R25,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata setakat ini terdapat lebih kurang satu juta pelabur dalam Amanah Saham di bawah PNB di Kedah dan mereka telah melabur sejumlah RM13.5 bilion.
— BERNAMA
[ad_2]
More Stories
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu
MA63: 9 tuntutan asas selesai sepenuhnya
PADU: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi – Pakar