Oleh Wartawan BS
SANDAKAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika keluar memancing di perairan Telukan, dekat sini, pada Khamis.
Nelayan itu, Joekinal Angkalamai, 36, dipercayai keluar memancing seorang diri pada jam 10 pagi Khamis, namun kehilangan mangsa cuma dilaporkan petang kelmarin selepas 24 jam berlalu.
Menurut isteri mangsa, Joekinal biasanya pulang sebelum jam 5 petang apabila keluar memancing.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada jam 3.50 petang kelmarin membabitkan dua aset Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan radius sektor pencarian lima batu nautika.
Katanya, operasi pagi ini membabitkan aset Maritim Malaysia, PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan jumlah keseluruhan anggota seramai 35 orang.
“Operasi hari ini dibahagikan kepada empat sektor pencarian seluas 20 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zainudin meminta orang ramai agar segera menyalurkan sebarang aduan atau kecemasan di laut
dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK