Oleh Wartawan BS
KOTA KINABALU: Sebuah pusat refleksologi di Jalan Coastal, dekat sini, diserbu, semalam, selepas dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.10 tengah malam yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, enam wanita disyaki pelacur dan seorang lelaki dipercayai pelanggan premis itu ditahan.
Pegawai Turus D7 IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, ketika serbuan di sebuah bilik di premis berkenaan menemui seorang lelaki dipercayai pelanggan bersama seorang wanita warga asing.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan turut menemui barang-barang yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran iaitu kondom, tuala dan tisu.
“Susulan itu, anggota D7 turut menahan lima lagi wanita warga asing disyaki pelacur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, pihaknya turut merampas sejumlah wang RM300 yang diberikan oleh pelangggan kepada wanita terbabit dipercayai sebagai upah perkhidmatan seks.
“Semua wanita yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun manakala pelanggan lelaki itu berusia 27 tahun.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Alhusin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti maksiat dan pelacuran atau sebarang aktiviti menyalahi undang-undang supaya disalurkan kepada pihak polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kegiatan persundalan,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK