OPS GASAK BASMI PATI

SANDAKAN: Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gasak dilancarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di pusat bandar dan Kampung Forest, di sini, awal pagi tadi.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata Ops Gasak diteruskan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) antara lain bertujuan membasmi kehadiran PATI di lokasi ‘hotspot’, sekali gus membebaskan daerah ini daripada kehadiran PATI yang menjadi punca berlakunya jenayah di ESSZONE termasuk penyeludupan dadah, rokok dan barang terkawal.

Selain itu, operasi ini juga bertujuan untuk mengesan dan menghapuskan tali barut kepada kumpulan culik untuk wang tebusan (KFR) yang disyaki menjadi dalang kepada semua kes penculikan di kawasan pantai timur.

“Dalam operasi bermula jam 3.30 pagi itu, pasukan keselamatan memeriksa seramai 99 orang dan daripada jumlah itu, seramai 25 orang ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.

“Semua yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan 12 wanita termasuk dua kanak-kanak perempuan. Mereka dibawa ke pusat tahanan sementara (PTS) Sandakan untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Hazani menambah, ESSCOM akan memperhebatkan lagi Ops Gasak pada tahun ini dalam usaha untuk membasmi kehadiran PATI, sekaligus memburu saki baki tali barut KFR, di samping membanteras kawasan ‘hotspot’ daripada sebarang unsur jenayah.