PADAH MILIKI DADAH, DICEKUP POLIS TAWAU

Tawau – Tindakan memiliki bahan terlarang iaitu dadah membawa padah apabila tiga orang lelaki dicekup pihak polis dalam operasi Ronda Cegah Jenayah (RCJ) baru-baru ini.
Sepasukan Polis dari Balai Polis Tawau, semasa menjalankan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) telah menahan dan memeriksa beberapa orang lelaki lingkungan umur 23 tahun – 40 tahun yang kelihatan mencurigakan.
Semasa diperiksa, sedikit pergelutan telah berlaku diantara anggota polis bertugas dengan suspek yang ingin melarikan diri namun kesemua suspek berjaya ditahan dan ditangkap.
Hasil pemeriksaan tubuh badan, didapati suspek memiliki paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu.
Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Semakan rekod lampau mendapati, salah seorang daripada suspek pernah disabitkan dengan kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat dibawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.