PALSUKAN DOKUMEN DAPAT TENDER, 13 KONTRAKTOR DIDAKWA

KOTA KINABALU: Seramai 13 kontraktor termasuk empat pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas tuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada 2016.

Bagaimanapun kesemua tertuduh itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Kesemua tertuduh masing-masing didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender daripada JPNS

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh melakukan kesalahan berkenaan pada 24 November 2016 di pejabat JPNS, yang mana kesemua tertuduh dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulin untuk mendapat tender berkenaan untuk tempoh 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.

Tertuduh dikenali sebagai, Afian Mohd Nasir, 50, Noor Yussri Becklono, 26, Syah Rizal Basri, 43, Rosainah Nusteh, 53, Jonid Gunsalam, 41, dan empat pasangan suami isteri itu ialah Muhammad Ashpawi Mohd Yahya, 50, dan Junaidah Majin, 43, Mohd Terus Megin,48, dan Rosnizah Jamilide, 30, Mohd Zain Becklono, 44, dan Norafidah Palas, serta Abdul Rahman Alimudin, 48, dan Janifer Basalat, 50.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Clementine Severinus dan Mohd Faliq Basarudin dan kesemua tertuduh diwakili peguam kecuali Jonid dan Rosainah yang tidak diwakili peguam.

Hakim kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM7,000 dan RM20,000 serta menetapkan 21, 22, 23 dan 27 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai tuntutan palsu./BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *