PAM BOT DIIGUNAKAN UNTUK MEMBAWA MASUK PATI SECARA HARAM

Lima lelaki warga Filipina yang ditahan tersebut diawasi seorang anggota polis marin

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU : Sepasukan anggota Pasukan Polis Marin telah berjaya menahan sebuah pam bot yang digunakan membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) secara haram di kawasan laut Tinagat sekat sini kira-kira pada jam lebih kurang 9.30 malam hari Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Hj. Mohamad Pajeri Bin Ali berkata, bertindak dari maklumat Unit Risikan Marin (URM) Tawau, pam bot berkenaan yang dijuragani seorang lelaki warganegara Filipina berumur 63 tahun bersama empat penumpang ditahan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan lanjut dan dokumentasi awal mendapati kesemua penumpang mengaku datang dari Filipina dengan membayar sejumlah wang sebanyak RM400 setiap penumpang kepada juragan, katanya lagi.

“Juragan serta kesemua penumpang lelaki berumur lingkungan umur 27 tahun hingga 47 tahun itu ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan selanjutnya. Turut dirampas sebuah perahu dan dua buah enjin pam serta beberapa barang dan pakaian peribadi mereka dengan anggaran rampasan berjumlah RM3,000,” kata Mohamad Pajeri.

Tangkapan dan rampasan telah dibuat kerana melakukan kesalahan menyeludup migran dari negara jiran ke negara ini iaitu  dibawah Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran(ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, kata Mohamad Pajeri.