TIGA WARGA ASING DITANGKAP POLIS MEMILIKI SYABU DAN BOM IKAN

Ketulan hablur jernih disyaki syabu bersama beg dan peralatan dirampas oleh Polis Kunak

Oleh Faizal Rahman

KUNAK : Polis di sini menangkap tiga lelaki warga asing disyaki memiliki dadah jenis syabu dan bom ikan semasa “Operasi Sarang Bersepadu” pada hari Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Supt. Baharin Md. Tahir, ketiga-tiga saspek yang berumur 21 hingga 25 tahun itu ditahan  dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Kampung Jeti Pangkalan Kunak lebih kurang jam 2.45 pagi.

Pihak polis telah menemui sebuah beg mengandungi dua paket plastik cerah berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 5.42 gram bernilai RM813  dengan peralatan, kata Baharin.

Polis Kunak juga merampas lima bom ikan dengan sumbu dari 3 lelaki warga asing dalam operasi awal Jumaat lepas.

Pasukan polis turut menjumpai lima botol kaca berisi serbuk putih disyaki bom ikan dan tiga sumbu,” tambah beliau lagi

Kesemua saspek yang tidak memiliki dokumen itu dan barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak untuk siasatan dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, kata Baharin.

“Saringan ujian air kencing telah dilakukan dan mendapati salah seorang saspek positif dadah jenis syabu,” kata Baharin.