PASAR RAYA ‘LEGEND’ MUSNAH TERBAKAR

SANDAKAN: Sebuah pasar raya tertua di sini, pasar raya borong Wong Yung Kee yang terletak di Batu 3, di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu dengan kebakaran menyebabkan bangunan empat tingkat pasar raya itu musnah sepenuhnya.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Martin Thomas, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.39 malam dan menghantar 23 anggota ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, api bagaimanapun hanya dapat dikawal pada jam 7.43 pagi kerana anggota bomba berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran susulan tekanan rendah pada air pili bomba.

“Kami terpaksa mendapatkan air daripada pili bomba yang terletak 500 meter dari bangunan.

“Operasi perlu dikendalikan defensif kerana bangunan tidak selamat dimasuki. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya di sini, hari ini.