PDRM SABAH MEMPERTAHANKAN KEJUARAAN PADA KEJOHANAN KARATE TERBUKA SANDAKAN KALI KEDUA

Pengarah Kejohanan Alex Lim  (kiri) menyampaikan piala  kepada Pengurus Pasukan Karate PDRM Sabah, Inspektor Hasryman Osman

SANDAKAN: Pasukan Karate Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Karate Terbuka Sandakan Kali Kedua yang telah diadakan di Dewan Terbuka Sejati Walk baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad, menyaksikan Pasukan Karate PDRM Sabah membolot 13 emas, tujuh perak dan 13 gangsa sekaligus untuk muncul sebagai johan.

Kemenangan ini adalah kali kedua berturut untuk PDRM Sabah selepas  menjuarai kejohanan semasa ia diadakan buat kali pertama pada tahun 2015. 

Naib Johan dimenangi SKA Telupid dengan 8 emas, 11 perak dan 13 gangsa manakala tempat ketiga menjadi milik Dahai Karate Club dengan 8 emas, 8 perak dan 15 gangsa.

Pasukan Karate PDRM Sabah terdiri dari 22 anak-anak warga PDRM Sabah serta 18 anggota PDRM yang terpilih dengan  Inspektor Hasryman Osman sebagai pengurus pasukan.

Sebanyak 19 pasukan dan 350 atlet menyertai kejohanan yang menyaksikan  52 acara dipertandingkan iaitu kategori Sekolah Rendah  6 – 13 tahun, Remaja 14-17 tahun, Dewasa 18-39 tahun dan Veteran 40 tahun keatas. 

Perasmian kejohanan tahun ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong pada hari Sabtu.