Pegawai 1MDB lapor terus kepada Najib, bukan Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 15 Jun — Seorang bekas pegawai kanan Perbendaharaan memberitahu Mahkamah Tinggi pada perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa pegawai syarikat itu melaporkan operasi mereka terus kepada perdana menteri ketika itu.

Siti Zauyah Mohd Desa, bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan berkata, unit Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), mempunyai garis panduan khusus untuk syarikat bawah kawalannya, di mana mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada kementerian sebelum boleh meneruskan sebarang pelaburan.

Bagaimanapun, dalam kes 1MDB, katanya, hal ehwal syarikat itu dilaporkan terus kepada Najib, yang juga menteri kewangan ketika itu.

Siti Zauyah juga berkata, Perbendaharaan “tidak jelas” mengenai tujuan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Limited (PSI).

“Jabatan saya (MoF Inc) tidak dirujuk oleh 1MDB sebelum mereka menceburi usaha sama ini. Saya tidak tahu sama ada 1MDB mendapat kelulusan terus daripada perdana menteri (ketika itu),” katanya.

Beliau juga telah cuba mencari maklumat latar belakang PSI dalam talian, katanya, namun tidak menemui apa-apa.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar mengenai tindakannya seterusnya, Zauyah berkata, beliau memaklumkan kepada menteri kewangan kedua ketika itu Ahmad Husni Hanadzlah bahawa mereka tiada jalan lain untuk mendapatkan maklumat mengenai PSI.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa pengurusan 1MDB, yang diketuai oleh bekas ketua pegawai eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak bekerjasama dengan Perbendaharaan.

“Kami memanggilnya untuk mesyuarat tetapi janji temu selalu dibatalkan pada saat-saat akhir,” katanya.

“Saya ingin menegaskan (bahawa) MoF Inc tidak boleh menutup syarikat atau menukar status mereka sebagai syarikat milik kerajaan jika mereka tidak dapat memenuhi kewajipan kewangan mereka.

“Kerajaan menjamin bon RM5 bilion yang dikeluarkan oleh 1MDB selama 30 tahun dan kita mesti pastikan mereka meneruskan operasi dan menunaikan kewajipan mereka,” katanya.

Zauyah turut memberitahu mahkamah beliau tidak faham bagaimana beberapa peruntukan dimasukkan dalam memorandum dan artikel pertubuhan (M&A) 1MDB yang memberi perdana menteri “kuasa muktamad” untuk meluluskan hal ehwal syarikat berkaitan pelantikan, pelaburan dan perkara-perkara lain berkait kepentingan negara.

“Artikel 68, 93 dan 117 bawah M&A 1MDB tidak pernah ditemui dalam syarikat milik kerajaan lain,” katanya.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah diteruskan.