LABUAN: Helah seorang penagih bersembunyi di bawah katil untuk mengelak daripada ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), gagal apabila dia ditahan dalam operasi di Kampung Durian Tunjung, di sini, hari ini.
Suspek berusia 49 tahun itu antara 14 lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah bermula jam 12 tengah malam hingga 4.40 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa AADK Negeri dan Labuan diketuai Erwan Roslan.

Ketua Pegawai AADK Labuan, Mohd Hanip Juarip berkata, operasi itu tertumpu di empat buah kampung di kawasan Labuan antaranya Kampung Tanjung Aru, Durian Tunjung, Bukit Kuda dan Bukit Kalam.
Katanya, ketika operasi dilakukan di sebuah rumah di Kampung Dutian Tunjung, seorang penagih melarikan diri dan bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditahan.
“Namun usaha itu gagal selepas berjaya dikesan pegawai penguat kuasa AADK.
“Semua tangkapan kemudian dibawa pejabat AADK Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati semua suspek berusia 18 hingga 51 tahun positif dadah.
“Permohonan reman di Mahkamah Majistret Labuan akan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Labuan di talian 087-422977 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK