RUMAH TERBAKAR, WARGA EMAS MELECUR

KUDAT: Seorang wanita warga emas melecur di badan selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Gumandang, Jalan Tajau, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa Olok Ogoim, 83, melecur 60 peratus di bahagian badannya akibat bahang panas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan 5.15 pagi dan menghantar seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat.

Katanya, turut membantu operasi ialah lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar sepenuhnya dan operasi terkawal jam 6.19 pagi.

“Terdapat seorang mangsa warga emas yang melecur 60 peratus di bahagian badan. Mangsa diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan EMRS memberi rawatan awal kepadamangsa sebelum dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.