BOT TUNDA DITAHAN MARITIM MALAYSIA LANGGAR SYARAT SAH LESEN

TAWAU : Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau telah menahan sebuah bot tunda kerana disyaki telah melakukan kesalahan langgar syarat lesen di sekitar perairan Bombalai dekat sini, semalam. 

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot ronda Maritim Tawau telah menahan bot tunda terbabit yang sedang menuju ke perairan Bombalai dari perairan Merotai sekitar  jam 3.15 petang.

Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat seorang juragan lelaki warga Indonesia berumur 23 tahun di atas bot tunda tersebut. Semasa diperiksa juragan tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan terdapat sebuah dokumen meragukan sebagai juragan bot tunda serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda, kata Siva Kumar.

Juragan dan bot tunda ditahan seterusnya diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk pemeriksaan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, tambah beliau.

Menurut beliau lagi, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999, kata Siva Kumar.