Penduduk mohon Ketua Menteri campurtangan untuk akhiri Kemelut ladang LKTNS) Lumiri, Nabawan.

Mathew Lituan, ketua peserta Kampong Tatalaan Ulu ( tengah ) dan Lulumot Ansaroi, ketua peserta Kampong Binanun ( kiri ).

NABAWAN: Penduduk Mukim Tatalaan, Nabawan yang terlibat dalam projek perladangan kelapa sawit seluas 14,785 ekar di Kg Lumiri memohon Ketua Menteri Sabah Datuk Mohd Shafie Apdal  campurtangan dengan segera untuk menyelesaikan kemelut mereka yang sudah berlanjutan hampir 6 bulan.

Ketua peserta ladang Kampong Tatalaan Ulu, Mathew Lituan berkata kemelut mereka bermula apabila Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah ( LKTNS ), selaku agensi perlaksana yang dilantik oleh kerajaan, tiba-tiba menghentikan pembangunan ladang tersebut beberapa bulan lalu tanpa memberitahu penduduk yang terlibat.

“Arahan henti kerja oleh LKTNS tersebut bukan sahaja menyebabkan kami kehilangan pekerjaan dan pendapatan, tetapi ia juga suatu pembajiran besar kerana lalang-lalang akan tumbuh dengan cepat sekiranya kawasan yang sudah dibersihkan tidak ditanam dengan anak pokok kelapa sawit.

Kami (penduduk) juga risau kawasan tersebut akan menjadi hutan semula seperti yang telah berlaku kepada ladang-ladang LKTNS berdekatan seperti Ladang Binakaan dan Ladang LKTNS Pandewan kerana kemelut ladang tidak diselesaikan dengan segera, kata Mathew.

Sementara itu, Ketua peserta ladang Kampong Binanun Lulumot Ansaroi juga menyatakan kebimbangannya sekiranya kemelut ladang LKTNS Lumiri tidak diselesaikan dengan segera.

“Kami sebenarnya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan projek tersebut di tempat kami.

“Kami juga sudah mendapat banyak manafaat sejak pembangunan ladang dimulakan pada tahun 2016, antaranya naik taraf jalanraya, peluang-peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan harian, tetapi penduduk kini mulai risau projek tersebut akan gagal sekiranya kemelut ladang tidak diselesaikan dengan segera.

Kami amat yakin Kerajaan baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Mohd Shafie Apdal dapat menyelesaikan kemelut kami dengan segera, sebab itulah kami sanggup turun ke ibu kota walaupun perjalanan dari kampung kami mengambil masa lebih dari 3 hari, ujarnya.