PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan ditemui mati, dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang, Ipoh, awal pagi semalam.
Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata polis menerima maklumat awam pada 2.30 pagi memaklumkan penemuan mangsa dalam keadan terbaring dan cedera di kawasan pagar tapak perkhemahan itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa 41 tahun itu bertugas sebagai pengawal keselamatan di situ.
“Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan penyakit arteri koronari dengan kecederaan akibat objek tumpul dan tajam.
“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Harian Metro.
Susulan itu, katanya, polis menahan seorang penganggur 31 tahun di Kampung Manjoi pada 1.45 tengah hari semalam untuk membantu siasatan.
Yahaya berkata, siasatan lebih terperinci akan dijalankan kerana keterangan suspek tidak konsisten.
“Dipercayai ketika kejadian, hanya mereka berdua (suspek dan mangsa) di tempat kejadian. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif methamphethamin.”
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki 10 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan narkotik, selain pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Ipoh.
More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK