PENGGIAT INDUSTRI DIPELAWA BICARA SANTAI BERSAMA MADIUS

KOTA KINABALU: Penggiat industri termasuk pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini dipelawa untuk menyaksikan bicara santai bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, malam ini.

Menurut kenyataan Pejabat Akhbar MTI, program itu akan disiarkan secara langsung pukul 8.30 malam menerusi Facebook dengan dihoskan Pengerusi Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Negeri Sabah, Datuk George Lim.

“Bicara santai ini antara lain membincangkan hala tuju perindustrian di Sabah semasa dan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Perbincangan mencakupi tentang perancangan dan tindakan untuk mendepani cabaran perusahaan masing-masing dalam era penularan wabak Covid-19.” Demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini, semalam.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa orang ramai dan pengusaha industri juga boleh berinteraksi dengan Madius dan George sepanjang siaran berkenaan.

“Sehubungan itu, penggiat industri turut dialu-alukan untuk menyampaikan pandangan sepanjang bicara santai ini bersiaran,” jelas kenyataan itu lagi.

Program selama sejam itu boleh diikuti menerusi laman facebook Conan Teo, seorang usahawan dan aktivis politik yang akan turut bersiaran bersama-sama.

Ia juga akan dikongsikan melalui laman facebook @Madiustangau yang mempunyai lebih 100,000 pengikut./beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *