KENINGAU, 6 April – Seorang penjenayah berjaya ditangkap polis ketika cuba melarikan diri melalui bumbung selepas dikesan memecah masuk sebuah rumah di Taman MDK 2, di sini, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 9 malam seterusnya mengerahkan sepasukan anggota polis ke lokasi.
“Suspek berjaya ditahan oleh orang awam apabila dia terjatuh dari bumbung rumah lalu diserahkan kepada polis.
“Hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat beberapa barangan milik tuan rumah berkenaan yang disorok di badan dan beg pinggang yang dipakai suspek.
“Bagaimanapun, tidak ada sebarang kecederaan serius terhadap keadaan fizikal suspek selepas terjatuh daripada bumbung,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Tambah Nor Rafidah, saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan kes pecah rumah.
“Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, pihak polis berterima kasih kepada orang awam yang membantu sehingga operasi penangkapan suspek berjaya.
Sebagai rekod, kejadian tersebut dirakam penduduk kawasan perumahan berkenaan sebelum tular di laman sosial Facebook, hari ini.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK