Tunggu anak pulang untuk berbuka bersama rupanya anak sudah meninggal

Gambar kecil: Jusoh, Mat Saat

KUALA TERENGGANU, 5 April – Pilu hati seorang ayah apabila anak yang ditunggu pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama rupa-rupanya sudah meninggal akibat nahas di jalan raya.

Jusoh Abd Rahman, 78, berkata, beliau menerima berita anaknya, Muhammad Saufi Jusoh, 38, yang terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 7.25 malam Isnin ketika sedang berbuka puasa.

Katanya, beliau terkedu seketika selepas menerima berita kemalangan mengenai anaknya kerana kebiasaan mangsa akan balik untuk berbuka bersama lima beranak di rumah.

“Ingatkan dia ada kerja tetapi tiba-tiba dimaklumkan anak kemalangan sebelum anak bongsu hubungi anak kedua saya yang tinggal di Manir.

“Kami segera ke unit kecemasan namun pelik sebab nama anak tiada di situ sebelum ternampak trak polis yang membawa mayat dan dimaklumkan anak antara yang maut dalam kemalangan itu.

“Walaupun masih terkejut dengan berita yang diterima, kami sekeluarga pasrah dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui media.

Muhammad Saufi merupakan salah seorang daripada empat mangsa yang maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan termasuk bas expres di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Lingai di Kuala Nerus kira-kira pukul 6.22 petang pada Isnin.

Mangsa ketika itu dalam perjalanan bersama tiga rakan kerjanya (juga maut) dari Besut menghala ke Kuala Terengganu selepas pulang dari tempat kerja sebelum ditimpa kemalangan.