TELITI SEMULA KELAYAKAN PEMILIK RUMAH PPR SEDIA ADA

Amsi Liew (kanan) semasa melawat wanita serta tiga orang anaknya hari ini

SANDAKAN: Pegawai Perhubungan Parlimen Sandakan, Amsi Liew mencadangkan dan berharap agar Majlis Perbandaran Sandakan meneliti semula kelayakan pemilik rumah PPR sedia ada sama ada mereka benar-benar memenuhi syarat permohonan.

Beliau menyatakan demikian setelah melawat sebuah keluarga yang tinggal di sebuah bilik yang telah lama terbiar di Batu 1/2 Jalan Utara hari ini.

Ahli keluarga tersebut terdiri daripada seorang wanita yang mempunyai tiga orang anak berusia 11 tahun, 9 tahun dan 5 tahun. Suami wanita ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara kes dadah dan menyebabkan mereka kehilangan tempat kediaman dan akhirnya terpaksa berpindah ke tempat tersebut.

Wanita ini yang mempunyai tekanan darah tinggi dan penyakit jantung yang juga tidak sesuai untuk bekerja dan hanya boleh menyara hidup dengan menjual barangan buatan sendiri. 

Selepas Amsi Liew memahami keadaan tersebut, Amsi segera mengedarkan bantuan yang diperuntukkan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong  kepada keluarga tersebut untuk keperluan mendesak dan juga akan membantu mereka untuk memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan serta memohon kemasukan ke rumah PPR daripada Majlis Perbandaran Sandakan.

Amsi Liew berkata beliau tidak faham mengapa begitu ramai orang miskin yang memohon kemasukan rumah PPR tetapi disekat. 

Mengapakah orang yang benar-benar memerlukannya tidak boleh mendapatkannya? katanya.

Justeru, Amsi Liew meminta Majlis Perbandaran Sandakan untuk meneliti semula sama ada semua pemilik rumah PPR sedia ada benar-benar layak untuk menduduki PPR itu.

Menurut maklumat, ramai yang berjaya memohon rumah PPR tetapi menyewakannya untuk mendapat keuntungan. 

Perkara ini adalah sangat tidak adil kepada keluarga miskin yang benar-benar memerlukannya. 

Justeru, Amsi Liew meminta Majlis Perbandaran Sandakan untuk mengambil tindakan segera supaya bangunan yang dibina oleh kerajaan kepada keluarga miskin ini boleh diberi kepada orang yang benar-benar memerlukannya.