Permohonan isu perundangan kes pengubahan wang Musa Aman didengar 6 Mei

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan berkaitan isu perundangan yang difailkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih US$37.8 juta dan SGD2.5 juta yang dihadapinya.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas sebutan kes berkenaan hari ini.

Terdahulu, peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa, 68, memaklumkan mahkamah bahawa pasukan pembelaan bersedia untuk berhujah berhubung pemohonan itu, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid berkata pendakwaan akan membantah permohonan tersebut dan memerlukan masa untuk membalasnya.

“Pihak responden (pendakwaan) berhasrat untuk memasukkan afidavit balasan, sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh 10 April. Ini kerana afidavit-afidavit ini perlu diperoleh daripada pegawai-pegawai diplomatik Hong Kong dan Singapura.

“Pihak pendakwaan telah menerima pemohonan peguam pada 10 April,” katanya dan menambah bahawa pihak pendakwaan akan menyerahkan afidavit jawapan pada 24 April.

Mengikut pertuduhan pertama, Musa didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura di atas nama Barnes untuk menerima hasil dari aktiviti haram di Bank UBS AG, Singapura pada 21 Jun, 2006.

Musa juga dituduh atas pertuduhan alternatif bagi pertuduhan pertama iaitu telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes membuka akaun di Bank UBS AG Singapura melalui akaun atas nama Barnes untuk menyembunyikan pemunyaan Musa ke atas hasil dari aktiviti haram di tempat dan pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Musa didakwa telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing US$16,148,547.00 dan US$1,047,153.00 daripada Chia Tien Foh, melalui akaun di atas nama Barnes di mana kedua-dua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Pertuduhan keempat dan kelima, Musa dituduh atas pertuduhan sama dengan menerima masing-masing US$2,702,702.00 dan US$2,180,673.00 daripada Young Generation Corp melalui akaun di atas nama Barnes di mana wang berkenaan adalah hasil dari aktivit haram.

Pertuduhan keenam, Musa dituduh atas pertuduhan sama dengan menerima US$4,044,956.82 daripada Lo Man Heng melalui akaun di atas nama Barnes di mana wang itu adalah hasil dari aktiviti haram dan bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, dia didakwa atas pertuduhan serupa dengan menerima masing-masing US$518,681.74 dan US$895,000.00 daripada Mazlan Zakaria melalui akaun di atas nama Barnes di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Pertuduhan kesembilan dan kesepuluh Musa didakwa pertuduhan serupa dengan menerima masing-masing US$7,300,000.00 dan SGD2,500,000.00 daripada Axon Group Ltd melalui akaun di atas nama Barnes di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, Musa menghadapi pertuduhan sama dengan menerima masing-masing US$862,000.00 dan US$778,443.00 daripada Well Capital Finance Limited melalui akaun di atas nama Baernas di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Pertuduhan ke-13, Musa didakwa pertuduhan sama dengan menerima US$650,000.00 daripada Innovative Information Ltd melalui akaun di atas nama Barnes di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Bagi pertuduhan ke-14, Musa didakwa pertuduhan serupa dengan menerima US$406,003.29 daripada Portland Trading Pte Ltd dan pertuduhan ke-15, menerima US$311,332.50 daripada Well Capital Finance Limited melalui akaun di atas nama Barnes di mana wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Bagi pertuduhan terakhir iaitu pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan kesemua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun di atas nama Barnes ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana kesemua aset dan kemasukan wang tersebut adalah hasil dari aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan kedua sehingga ke-16, Musa dituduh melakukan perbuatan itu di Bank UBS AG, Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China antara 21 Jun 2006 dan 14 Mei 2008.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Musa juga menghadapi 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan pemohonan untuk memindahkan kes Musa ke Mahkamah Tinggi dan 22 April ditetapkan untuk mendengar pemohonan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Sesyen turut menetapkan 6 Mei bagi sebutan semula bagi 35 kes rasuah itu.

— BERNAMA

[ad_2]