Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Semua pihak memainkan peranan dalam memastikan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang optima.
Ini termasuk memberikan penyusuan ibu kepada bayi mereka.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata, dalam dunia menghadapi ketidaksaksamaan, krisis dan kemiskinan, penyusuan susu ibu juga adalah asas kehidupan sihat yang berpanjangan dan sama penting untuk bayi dan ibu.
Walaubagaimanapun, ujarnya, bagi segolongan kaum ibu, ia merupakan satu cabaran untuk ibu meneruskan penyusuan secara eksklusif sehingga bayi berumur 6 bulan kerana kekurangan sokongan dari keluarga dan masyarakat.
“Oleh itu, adalah penting untuk kita semua berusaha dan berganding bahu untuk menyediakan satu persekitaran yang kondusif untuk ibu-ibu meneruskan amalan penyusuan susu ibu, tidak kira di mana ibu berada.” Katanya.
“Penyusuan susu ibu merupakan usaha bersama.
Ia memerlukan informasi dan sokongan untuk menghasilkan persekitaran yang dapat memperkasakan ibu untuk memberi susu ibu secara optima.
Walaupun ibu memainkan peranan utama dalam penyusuan, sokongan berterusan dari kalangan kaum bapa, ahli keluarga, rakan sekerja dan komuniti terus membantu meningkatkan kadar penyusuan susu ibu, ” tambahnya.
Penyusuan susu ibu juga adalah cara yang semulajadi untuk pemakanan bayi dan mempromosikan ikatan kasih sayang antara ibu dengan anak.
“Penyusuan susu ibu juga merupakan cara penyelesaian sejagat yang memulakan kehidupan manusia dengan adil dan ia membentuk satu asas kepada kesejahteraan kesihatan dan kehidupan wanita dan kanak-kanak,” kata Wong lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Kompleks Sukan Sandakan pada Rabu.
Sementara itu, Wong berkata, tanpa beban tambahan dari segi pendapatan keluarga, penyusuan ibu juga adalah amalan pemakanan berkos rendah dan boleh menyumbang kepada pengurangan kadar kemiskinan.
“Pemakanan, kebolehdapatan makanan dan pengurangan kadar kemiskinan juga adalah asas dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Kesatuan Dunia (Sustainable Development Goals),” tambah Wong.
Dalam pada itu, Wong merakam penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan kerana berjaya menganjurkan Konvensyen Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) yang ke-6 dan majlis sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Sandakan.
“Saya yakin, program ini cukup memberi impak tinggi dalam menggalakkan sokongan daripada pasangan, keluarga, majikan, rakan sekerja dan komuniti untuk terus konsisten membudayakan amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif iaitu bayi diberikan susu ibu sahaja secara sepenuhnya dari lahir sehingga berusia 6 bulan,” ujarnya.
Beliau juga mengajak semua pihak untuk bersama menghayati tema sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sabah tahun 2019 iaitu “Caknakan Ibu Bapa, Jayakan Penyusuan. Bertindak Sekarang Demi Masa Depan”.
Tema ini bertujuan untuk melindungi, mempromosi dan menyokong penyusuan susu ibu di samping memperkasakan ibu bapa dan menyediakan sokongan sosial yang dapat menjayakan penyusuan.
Kewujudan ekuiti jantina, polisi yang menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu serta kesediaadaan tempat kerja yang menyokong penyusuan merupakan objektif global sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu tahun 2019.
Wong juga mengucapkan tahniah kepada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang telah berjaya mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif sebagai kemudahan bagi kaum ibu bekerjaya yang sedang menyusukan bayi dengan ruangan yang disediakan bagi ibu-ibu ini.
Antaranya, di Pejabat Daerah Tambunan, Pejabat LHDN Sandakan,Kilang KOSAN Tuaran,SK Tg. Papat 1, Sandakan, SMK Kundasang, Pusat Komuniti Desa Kg.Telisai,Tungku, Lahad Datu dan Jabatan Pendaftaran Negara, UTC Tawau.
“Saya juga berharap dan ingin mencadangkan supaya program-program berbentuk seperti ini dapat dipergiatkan pada masa-masa akan datang bukan sahaja daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah malahan juga daripada badan-badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan menyokong usaha yang seumpama ini,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ