KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony akui momentum skuad Tambadau sedikit terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan mereka berlatih.
Bagaimanapun, katanya, ia satu cabaran buat barisan jurulatih yang diketuai Kurniawan Dwi Yulianto bagi mengembalikan rentak pasukan yang kini berada di kedudukan keempat Liga Super itu.
“Sudah pasti selepas saingan Liga Super dihentikan berikutan pelaksanaan PKP, ia menyukarkan pasukan kerana tidak berlatih seperti biasa dan hanya berlatih di rumah.
“Saya meminta barisan jurulatih untuk mengambil cabaran ini bagi memantapkan lagi pasukan sebelum saingan bersambung semula nanti,” katanya pada sidang media di pejabat SAFA, di sini, semalam.
Peter berkata, sebelum saingan musim ini bermula, persiapan pasukan berjalan dengan sangat baik termasuklah mengadakan pra-musim di Filipina dan Indonesia.
“Permulaan pasukan dalam saingan liga juga boleh dikatakan baik namun saya jangkakan momentum skuad Tambadau nanti akan sedikit lembab apabila saingan bersambung semula nanti.
“Bagaimanapun, kita akan melakukan yang terbaik untuk bukan hanya mengekalkan kedudukan ketika ini malah bersaing untuk mendapat kedudukan lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, pasukan telah kembali ke padang untuk menjalani latihan dan dijangka juga latihan penuh bakal bermula tidak lama lagi apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk membenarkan latihan babitkan kontak fizikal.
Sementara itu, Peter berkata, SAFA mungkin akan memanggil skuad bawah 21 tahun (B-21) mereka lebih awal untuk kembali berlatih.
Katanya, ia sebagai persiapan awal bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung pada Mac tahun depan.
Terdahulu, Peter turut berkata pihaknya akan mencari satu rumusan bagaimana para pemain B-21 dan B-19 negeri itu untuk terus aktif dalam bola sepak.
“Sudah pasti pembatalan kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia memberi satu tamparan hebat buat para pemain kita.
“Kami akan berbincang dan mencari rumusan bagaimana mereka ini boleh kembali bermain bola sepak semula,” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee