MSSD TELUPID, TONGOD TERIMA SUMBANGAN JERSI

TELUPID : Majlis Sukan Sekolah Daerah Telupid, Tongod (MSSD) menerima sumbangan dua set jersi untuk kegunaan pelajar yang mewakili daerah ini ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS).

Sumbangan daripada pengurus syarikat Adonara Cafe Judas itu disampaikan kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan yang menjalankan tugas Pegawai Pendidikan Daerah, Jamain Bakut menerusi majlis ringkas di Pejabat pendidikan Daerah Telupid.

Ketika berucap, Jamain berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan itu kerana ia memberi sokongan moral kepada pelajar agar terus berusaha.

Beliau turut memuji unit sukan Sektor Pembangunan Bakat Murid yang bekerjasama dengan agensi luar bagi mencari penaja aktiviti seumpama itu.

Sementara itu, Pengurus Adonara Cafe, Judas Nicholas pula merakamkan rasa bangga dapat membantu perkembangan sukan di sekolah.

“Sebagai penggemar sukan bola sepak, kami sentiasa bersedia membantu perkembangan sukan di daerah ini.

“Kami berharap sumbangan ini serba sedikit membantu perkembangan sukan di daerah ini,” katanya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Primus Longkiad dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran, Felix Martin.-http://beritasabah.com