KOTA KINABALU: Pemain dari Nambibia, Petrus Shitembi, menjadi pemain terakhir diikat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), sekali gus melengkapkan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto bagi menghadapi saingan Liga Super yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Petrus, 27, menandatangani kontrak selama setahun dengan persatuan itu dan kehadirannya dijangka bakal memperkuatkan lagi bahagian tengah skuad Tambadau.
Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi memberangsangkan Petrus ketika aksi pra-musim skuad Tambadau di Indonesia, baru-baru ini.
Petrus sebelum ini beraksi dengan Lusaka Dynamos di negara asalnya dan beliau yang kini berusia 27 tahun juga adalah pemain kebangsaan Nambibia.
Sebelum ini, aksi lincah pemain itu bersama Tambadau di Indonesia turut menjadi buah mulut para penyokong Sabah yang rata-ratanya memuji persembahan dipamerkannya.

Sabah sebelum ini turut mengikat pemain dari Thailand, Dennis Buschening dan penyerang Puerto Rico, Hector Omar Ramos.
Dua lagi pemain import iaitu Rodoljub Paunovic serta Park Taesu dikekalkan daripada musim lalu oleh pasukan untuk saingan musim baharu nanti.
Sementara itu, Peter berkata, satu majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi akan diadakan pada 27 Februari depan.
Katanya, majlis itu nanti akan disempurnakan oleh ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ketika ditanya mengenai sasaran pasukan pada musim baharu nanti, Peter berkata harapan beliau adalah untuk melihat Sabah menjadi antara pesaing dalam saingan Liga Super dan memenangi sekurang-kurangnya satu piala.
“Ia bukan tugas mudah, namun saya yakin dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto, untuk membentuk satu pasukan yang mantap.
“Saya juga akui keputusan pra-musim di Indonesia, baru-baru ini, tidak begitu memihak kepada kita tetapi keputusan di sana bukanlah perkara penting kerana apa yang lebih penting ialah keputusan pada saingan liga sebenar nanti,” katanya.
More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee