KOTA KINABALU, 27 Mei — Pakatan Harapan (PH) dalam sebuah kenyataan menggesa Perdana Menteri mengadakan Sidang Khas Parlimen secepat mungkin bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Menurut Majlis Presiden PH, sebelum ini beliau telah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU tersebut, maka janji itu harus ditunaikan.
Bagaimanapun, PH juga menegaskan agar beberapa isu yang dihadapi rakyat kini turut diketengahkan dalam persidangan tersebut.
“Selain RUU, Sidang Khas Parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.
“Juga harus dibincangkan mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik COVID-19 melanda, terpalit dengan rasuah,” jelas kenyataan itu hari ini.
Selanjutnya, PH menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi