POLIS BERKAS LELAKI TERLIBAT KES PECAH RUMAH KEBUN KURANG 24 JAM

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah rumah kebun di kampung Sungai Udin, Tawau, kelmarin.
Suspek seorang lelaki warga asing berumur 25 tahun itu ditahan kurang 24 jam setelah mangsa membuat laporan polis mengenai rumah kebun miliknya telah dipecah masuk pada jam 4.30 petang, pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai ketika menjalankan ronda cegah jenayah (RCJ) di kawasan kampung Sungai Udin kira-kira jam 10 malam selepas menerima maklumat dan risikan.
Katanya, dalam tangkapan tersebut, polis turut menemui semula barang yang disyaki dicuri suspek.
Menurutnya, suspek bersama barang kes dibawa ke Balai Polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Sebelum itu, pihak Polis telah menerima laporan mengatakan rumah kebun miliknya telah dipecah masuk melalui tingkap, pemeriksaan di dalam rumah kebunnya mendapati sebuah gelen berisi 20 liter racun dan sebuah tong gas milik mangsa telah hilang disyaki dicuri oleh orang yang tidak dikenali,” katanya.
Jasmin berkata, Polis Tawau giat menjalankan operasi yang berkonsepkan agresif policing dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di daerah ini selaras dengan tema ‘Bersama Ke Arah Tawau Sejahtera’.