Polis kesan dua suspek terlibat kejadian langgar lari, curi kereta.

Hanyan

Oleh: Cyn J.

KEMAMAN, 22 FEB – Polis sedang mengesan dua orang suspek yang terlibat dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer (KM) 269, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa merupakan seorang pesara, Zolkafli Ahmad, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Skuter Vmoto 250 sedang dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke rumahnya di Kerteh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua lelaki dari arah sama telah melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa hilang kawalan kemudian tercampak ke dalam longkang dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala pemandu dan penumpang Myvi berkenaan melarikan diri,” katanya.

Kemalangan tersebut disedari oleh seorang pemuda yang berhenti memberi bantuan kepada mangsa sebelum bertindak mencari pemandu dan penumpang Myvi berkenaan.

Menurut Hanyan, pemuda tersebut berjaya menemui kereta dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan yang berhenti di tepi lebuh raya kerana mengalami kerosakan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pemuda tersebut disusuli dengan kekecewaan apabila kedua-dua suspek bertindak mencuri keretanya.

“Setelah dia (pemuda tersebut) menyoal mengenai tindakan suspek tidak menghentikan kereta, kedua-dua suspek itu bertindak memasuki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina miliknya dan memecut laju melarikan diri menggunakan kenderaan yang dicuri itu.

“Pemuda itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman kira-kira pukul 3 petang,” jelas Hanyan.

Siasatan lanjut melaporkan, kedua-dua suspek kini sedang diburu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.