POLIS MARIN BERJAYA SELAMATKAN PEMANDU PELANCONG HILANG

Anggota PPM mengiringi mangsa keluar dari kawasan hutan Sungai Kapur petang kelmarin

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU : Pasukan Polis Marin (PPM) telah berjaya menyelamatkan seorang pemandu pelancong yang hilang di kawasan Sungai Kapur berdekatan dengan kawasan Bukit Evans di sini kelmarin.

Komander PPM Sabah, ACP Hj. Mohamad Pajeri Ali berkata, pada hari kejadian mangsa membawa dua pelancong asing untuk aktiviti “jungle trekking” pada jam 3.00 petang dan sebelum memulakan aktiviti tersebut mangsa memberitahu ingin ke tandas.
Selepas mangsa tidak muncul-muncul sehingga aktiviti pelancong tersebut selesai , seorang lagi pemandu pelancong telah menghubungi pihak polis, kata Mohamad Pajeri.
Menurutnya, selepas mendapat maklumat tersebut PPM terus menghantar botronda RH 42 serta kerahkan anggota PPM untuk misi mencari mangsa pada jam 4.20 petang.
Misi mencari mangsa dimulakan pada jam 4.25 petang botronda RH 42 di kawasan hutan Sungai Kapur bersama dengan tiga anggota Pegawai Perhutanan Pos Lasun ditempat mangsa disyaki hilang, kata Mohamad Pajeri.
Pencarian kemudian diteruskan di tebing hingga hujung Sungai Kapur tetapi tidak dijumpai sehingga terdengar suara berteriak dari arah hutan. Anggota PPM  kemudian menuju ke tempat suara kedengaran pada jam 5.40 petang, kata Mohamad Pajeri. 
Katanya lagi, pada jam 6.10 petang mangsa telah dijumpai dalam jarak lebih kurang 50 meter dari tebing Sungai Kapur, tambah beliau.
Mangsa berjaya di selamatkan oleh pasukan misi mencari dan menyelamat dalam keadaan selamat, kata beliau.
“Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam misi pencarian ini sehingga dapat mengesan dan menyelamatkan mangsa berkenaan dalam keadaan yang selamat,” kata Mohamad Pajeri.