POLIS RAMPAS 12 POKOK GANJA, 58 BUTIR PELURU

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang ahli perniagaan dan merampas 12 pokok ganja serta 58 butir peluru pelbagai jenama dalam serbuan di Taman Mega Ria, Batu 3, Jalan Air Panas Tawau, semalam.

Serbuan jam 5.30 pagi oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal jenis Harley Davidson dan nilai keseluruhan sitaan RM205,000.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, ketika serbuan dijalankan menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di tingkat atas rumahnya.

Katanya, hasil pemeriksaan dan disaksikan suspek sendiri, pasukan polis menemui 12 pokok disyaki ganja dengan ketinggian antara 138 sentimeter (sm) hingga 212 sm yang ditanam di halaman belakang rumah suspek terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah suspek, menemui plastik lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki ganja dengan berat kasar 29.52 gram.

“Seterusnya turut ditemui dalam bilik tidur suspek beberapa kotak berisi peluru dengan jumlah sebanyak 58 butir peluru pelbagai jenama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Zaini berkata, siasatan awal mendapati, suspek memperoleh benih ganja ini dari Selangor dan mendakwa menanamnya untuk suka-suka.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih dijalankan dan kemungkinan ada motif lain.

“Polis turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Ford Ranger dan sebuah motosikal Harley Davidson dianggarkan bernilai RM205,000.

“Suspek dan semua rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Suspek kini ditahan reman dari tarikh dia ditahan hingga 10 Ogos mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) akta sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat satu kilogram dianggarkan bernilai RM40,500 di pejabat Pos di Manggatal, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya dimaklumkan oleh Pejabat Pos Manggatal terdapat satu kotak/parcel yang tidak dituntut dan mencurigakan mengandungi bahan terlarang, jam 9 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK pergi ke pejabat pos berkenaan dan menemui satu bungkusan kiriman pos laju.

“Dalam bungkusan itu menemui dua unit lampu siling berbentu bulat berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Tiada tangkapan dilakukan dan semua barang berkenaan dirampas dan dibawa ke JSJN IPK Sabah untuk siasatan lanjut,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *