POLIS SANDAKAN RAMPAS 5,401 KOTAK MINUMAN KERAS

Omar (tengah) bersama Mohd Azhar (kanan) dan Abdul Fuad menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas oleh Polis Sandakan

 Oleh Kahar Ali
SANDAKAN: Polis di sini telah gagalkan cubaan sindiket penyeludupan minuman keras untuk menyeludup  sebanyak 5,401 kotak minuman keras yang dipercayai dari Negara China masuk ke Sabah pada hari Sabtu lepas.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan hari ini, pelabuhan Sandakan digunakan sebagai transit untuk minuman keras yang tiba melalui kapal kontena dari Negara China sebelum dihantar ke destinasi seterusnya iaitu Tawi-Tawi di Selatan Filipina.

Minuman keras itu kemudian telah dipindahkan ke sebuah kapal besi yang sepatutnya menghantar konsainmen tersebut ke Tawi-Tawi  tetapi kapal tersebut berpatah balik dan menuju pula ke jeti Sungai Seguntor di kawasan Sandakan, kata Omar.

Omar berkata, minuman keras yang di bawa oleh kapal besi kemudiannya dipunggah dan dinaikkan ke dalam tiga buah lori yang sedang menunggu disitu untuk dihantar melalui jalan darat ke Kota Kinabalu dan Penampang bagi mengelakkan cukai import.

Sepasukan Polis yang diketuai Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin melakukan rampasan minuman keras tersebut dan menangkap 19 lelaki terdiri dari 6 warga asing dan 13 warga tempatan, berumur 21 hingga 60 tahun, dalam serbuan ditepi Sungai Seguntor pada Jun 29 jam 11.30 malam, tambah Omar.

Omar memberitahu bahawa tiga buah lori, dua pacuan empat roda dan sebuah kapal besi yang dipercayai digunakan untuk memunggah minuman keras turut dirampas.  Nilai kesemua rampasan dianggarkan sekitar RM 2.7 juta.

Menurut Omar, kejayaan ini merupakan antara satu rampasan terbesar yang dilaporkan di daerah Sandakan. Perintah reman selama tujuh hari telah diperolehi dari mahkamah untuk menahan kesemua saspek bagi siasatan dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
Turut hadir di sidang media ialah Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin serta Timbalan Ketua Ketua Polis Daerah Supt Abdul Fuad Abdul Malek.