PPM LAHAD DATU TAHAN LELAKI PTI DISYAKI AHLI KONGSI GELAP

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU : Seorang Pendatang Tanpa Izin (PTI) disyaki ahli kongsi gelap ditangkap Pasukan Polis Marin (PPM)  di kawasan laut Silam dekat sini semalam.

Bot ronda PPM telah terlihat sebuah pam bot yang mencurigakan yang cuba menukar haluan dan memecut melarikan diri ke arah laut Giong tetapi berjaya dipintas oleh botronda PPM pada jam 5.50 petang, kata Komander PPM Sabah ACP Hj Mohamad Pajeri Ali.

Hasil pemeriksaan awal mendapati juragan lelaki berumur 25 tahun warganegara asing telah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah yang mana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, tambah Mohamad Pajeri.

Menurut Mohamad Pajeri, pemeriksaan lanjut mendapati saspek juga memiliki buku-buku, kad, dokumen keahlian suatu pertubuhan yang mana saspek mengaku kesemua adalah miliknya. 

“Pemeriksaan ke atas badan saspek telah mendapati terdapat dipercayai tanda pengenalan keahlian pertubuhan tersebut yang merupakan salah satu pertubuhan kongsi gelap yang diwartakan haram di Malaysia,” katanya.

Enjin pam boat

Pam bot bersama enjin telah dirampas dan dibawa ke Markas Operasi Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi dan anggaran rampasan berjumlah RM3,200, tambah Mohamad Pajeri.

Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000 jika disabit kesalahan, kata Mohamad Pajeri.

“Kes juga disiasat dibawah Seksyen 56 Akta Pertubuhan 1966,” kata Mohamad Pajeri.