SEMPORNA: Dua lelaki yang disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan meloloskan diri di kawasan bakau ketika cuba ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di Kampung Tobo-Tobo, di sini, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, susulan daripada itu pihaknya menahan dua perahu dan merampas ikan yang dipercayai hasil kaedah bahan letupan .
“Dalam kejadian jam 2.00 petang itu, kedua-dua lelaki berkenaan lari ke kawasan bakau berhampiran sebelum menghilangkan diri.
“Hasil pemeriksaan di dalam ruangan perahu berkenaan, kita berjaya menemukan kira-kira 25 kilogram pelbagai jenis ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohammad berkata, rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Kedua-dua perahu dan muatannya telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 52 (1) (a) Akta Perikanan 1985, jumlah keseluruhan rampasan termasuk ikan bom dianggarkan berjumlah RM5,725.
“Kes diserahkan ke Balai Polis Bum-Bum untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk tindakan.
Katanya, masyarakat boleh melaporkan sebarang aktiviti yang melanggari undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197. -https://beritasabah.com/

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ