PPM SANDAKAN PATAHKAN CUBAAN MENYELEWENG MINYAK PETROL

Saspek (kanan) yang ditahan bersama jerikin yang berisi minyak petrol oleh Pasukan Polis Marin Sandakan

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan  berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan minyak petrol yang dilaporkan aktif berlaku di kawasan Batu 3, di sini hari ini.

Komander  PPM Sabah, ACP Hj Mohamad Pajeri  Ali berkata, dalam tiga operasi berasingan pihaknya turut merampas 600 liter minyak petrol dalam jerikin dan sebuah kereta pacuan empat roda dianggarkan bernilai hampir RM 61,248 keseluruhannya.

“Kes yang berlaku pada pukul 11.15 pagi , sepasukan Unit Risikan Marin PPM Sandakan telah  memeriksa sebuah kereta yang di parkir di tepi parit besar tersebut dan menemui 20 jerikin berisi minyak petrol dipercayai cuba di seludup ke Filipina,” kata Mohamad Pajeri.

Menurut Mohamad Pajeri, hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut mendapati  pemandu kenderaan tidak mempunyai surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk membawa minyak petrol itu,” katanya lagi.

Saspek yang merupakan seorang lelaki tempatan, berumur 27 tahun, turut ditahan selepas mengaku memiliki minyak petrol tersebut.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, jika sabit kesalahan boleh didenda RM 1 juta bagi pesalah perseorangan dan penjara tiga tahun, kata Mohamad Pajeri.