PPM TAWAU RAMPAS BARANG KAWALAN DI JETI

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Jabatan Kastam berjaya merampas 25 tong gas LPG dalam “Op Inter-Agensi” di jeti log pond di Kg. Tanjung Batu Tawau kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Komander PPM Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali berkata serbuan telah dilaksanakan hasil maklumat dari Unit Risikan PPM Tawau pada kira-kira jam 3.30 petang.

Seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 62 tahun telah ditahan kerana menggunakan sebuah bot untuk membawa barang kawalan tanpa kebenaran di jeti berkenaan.

“Lelaki berkenaan gagal menunjukkan permit atau surat kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesemua barang-barang kawalan yang dibawanya,” kata Mohamad Pajeri.

Pengakuan lisan dari lelaki tersebut mengatakan tong gas berkenaan akan dibawa ke Pulau Sebatik melalui jalan laut dan dipercayai akan diseludup keluar ke negara jiran Indonesia, tambah beliau.

Menurutnya lagi, lelaki beserta bot dan barang rampasan diarah ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk 25 tong gas LPG  dan sebuah bot beserta enjin 75HP dianggarkan berjumlah RM 32,000.

Kes dirujuk ke KPDNHEP cawangan Tawau dan akan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan., kata Mohamad Pajeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *