PROGRAM PRIHATIN KELUARGA ANGKAT (PROTEK) PERKESO SANDAKAN

Hajah Mariam (duduk lima kanan) bersama pegawainya dan guru-guru semasa program di SK Mawar

SANDAKAN : PERKESO Sandakan dengan kerjasama pihak Sekolah telah berjaya melaksanakan Program PROTEK kepada kedua-dua anak angkat PERKESO Sandakan iaitu Nurliah Safika dan Nur Iman Lutfilah Suhartho.

Kedua-dua keluarga ini diperaku sebagai ASNAF dibawa Program PROTEK PERKESO dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Untuk merealisasikan pengagihan zakat tersebut satu program kerjasama diantara PERKESO Sandakan dan pihak sekolah masing-masing telah dilaksanakan pada 19 Ogos 2019 kepada Nurliah Safika di SK Sungai Anib III dengan pemberian alat tulis semasa perhimpunan pagi jam 7.00 pagi di dewan sekolah.

Sebelum itu, beliau juga telah mengikut Bengkel Mudahnya Menjawab Soalan UPSR BM pada 20 Julai 2019 dan Bengkel Teknik Menjawab Sains UPSR pada 4 Ogos 2019 dibawah bajet program motivasi PROTEK.

Nurliah Safika merupakan anak ke-10 daripada 12 orang adik beradik. Ayahnya Abdullah Etin telah meninggal dunia pada 29 Nov 2018. Setelah pemergian beliau, ibu dan anak-anak tinggal menumpang di rumah sewa anak sulong yang juga telah berkahwin dan mempunyai anak seramai 3 orang. Lawatan ke rumah pada 15 April 2019, mendapati kehidupan mereka yang sangat sederhana dan perbelanjaan ditanggung oleh adik-beradik yang telah berkahwin dan bekerja.

Program PROTEK diteruskan pada 20 Ogos 2019 sekitar jam 6.40 pagi kepada Nur Iman Lutfilah Suhartho yang disaksikan oleh ibu, guru-guru dan anak murid dari SK Mawar Sandakan dengan pemberikan alat kelengkapan sekolah semasa perhimpunan pagi sekolah berkenaan.

Nur Iman Lutfilah Suhartho merupakan anak pertama daripada 5 orang adik-beradik yang telah kematian ayahanda Suharto Abdullah Rahman pada 24 Disember 2018 akibat sakit jantung dengan meninggalkan 5 orang anak dalam lingkungan 9 tahun hingga 3 tahun yang kini tinggal menumpang di rumah ibubapa mertua.

“Semoga program yang dilaksanakan ini dapat menyuntik semangat dan kejayaan kepada Nurliah Safika yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada bulan September ini. Manakala kepada Nur Iman Lutfilah Suhartho, PERKESO Sandakan doakan menjadi anak yang berjaya dan membanggakan keluarganya,” kata pengurus PERKESO cawangan Sandakan Hajah Mariam Haji Hassan.