[ad_1]
Konsul General Indonesia di Pulau Pinang, Iwanshah Wibisono berkata proses pengundian awal di Pulau Pinang berjalan sangat lancar dan ia dapat dilihat daripada kehadiran memberansangkan para pengundi berdaftar.
“Hari ini kita lihat prosesnya berjalan lancar, kita sudah selesaikan undian melalui pos dan juga melalui kotak suara sekeliling. Jumlah pemilih berdaftar ada 2,400 dan kita menjangkakan akan lebih lagi yang datang mengundi hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat pengundian berlangsung di Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Jalan Burma di sini.
Iwanshah berkata kotak suara (kertas undi) dari tempat mengundi awal yang berlangsung di pejabat konsulat di Jalan Burma, undian melalui pos dan kotak suara sekeliling akan dikira serentak pada 17 April ini, hari berlangsungnya Pilpres di Indonesia.
Katanya pihaknya akan memaklumkan keputusan dan jumlah undian pada hari sama (17 April) kepada pihak berkuasa di Indonesia.
Sementara itu tinjauan Bernama mendapati rata-rata rakyat Indonesia yang berpeluang mengundi melahirkan rasa teruja mereka dan begitu bersemangat dan senantiasa dengan riak wajah ceria biarpun terpaksa berdiri dan beratur menunggu untuk masuk ke tempat pengundian.
Seorang suri rumah Muriani Ismail, 36, yang berasal dari Binjan, Medan, Indonesia berkata hari ini merupakan hari paling indah dan bersejarah baginya apabila buat pertama kali dapat mengundi sepanjang hidupnya.
“Rasa seronok sangat hari ini, ketika di Indonesia saya tidak pernah mengundi selama ini dan ini adalah kali pertama saya mengundi dan ianya di Malaysia. Perjalanan proses pengundian sangat lancar sekali dan saya harap mudah-mudahan Jokowi menang, supaya ,kita hidup selesa, sejahtera aman dan damai.Itu saja yang kita mahu,” katanya yang menetap di Seberang Perai selama lapan tahun kerana mengikut suami yang bekerja sebagai kontraktor di sini.
Seorang lagi pembantu rumah Sukinah Nuryasengaja, 59, yang sudah 20 tahun menetap di Pulau Pinang turut melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berpeluang sekali lagi mengundi bagi memilih pemerintah negaranya.
“Ini sudah kali keempat saya mengundi di sini.Seawal jam 8 pagi lagi sudah datang ke sini untuk tunaikan tanggungjawab.Alhamdulilah sepanjang pengalaman empat kali mengundi, segalanya berjalan lancar sekali,” kata wanita yang berasal dari Jawa Tengah itu.
Kira-kira 3,000 pengundi berdaftar Indonesia yang berada di Pulau Pinang dijangka mengundi bagi memilih pucuk pimpinan negara republik itu.
Untuk rekod, sehingga 10 Dis 2018, jumlah rasmi pemilih yang berdaftar adalah 2,472 pengundi bagaimanapun jumlah itu meningkat kepada 3,000 berikutan terdapat penambahan rakyat Indonesia yang berpindah ke negeri ini termasuk melanjutkan pengajian dan menjalankan rawatan sakit di sini.
Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar Indonesia yang berada di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis adalah lebih 60,000. Daripada jumlah tersebut jumlah pengundi melalui pos adalah 27,714 manakala menerusi undi kotak suara sekeliling ialah 30,557 manakala pengundi yang datang mengundi di pusat pengundian adalah kira-kira 3,000 orang.
Dalam Pilpres 2019, Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal kedua bergandingan dengan pasangan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib Presiden.
Mereka akan ditentang oleh bekas ketua tentera Prabowo Subianto yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta Sandiaga Uno,49.
Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) terdapat 711 kerusi menjadi rebutan dalam Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR) yang terdiri daripada 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD).
Juga terbuka untuk rebutan ialah lebih 19,500 kerusi di lebih 2,000 daerah, perbandaran dan daerah pemilihan dewan legislatif.
— BERNAMA
[ad_2]
More Stories
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu
MA63: 9 tuntutan asas selesai sepenuhnya
PADU: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi – Pakar