RASMI: Pegawai, Kakitangan KPP Memakai Pakaian Tradisi Setiap Khamis

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau melancarkan pemakaian pakaian tradisi setiap Khamis bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (KPP) serta agensi dan jabatan di bawah kementerian KPP. Kelihatan Tangau (duduk tengah) bergambar bersama pegawai dan kakitangan KPP serta agesi dan jabatan dibawah kementerian itu, di perkarangan bangunan Wisma Kewangan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) akan terus komited memperjuangkan nasib masyarakat Momogun melalui budaya, bahasa, adat resam dan ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata sejak dahulu lagi, Upko dilihat sebagai sebuah parti yang begitu dekat dihati masyarakat Momogun kerana ideologi perjuangannya sahaja pun menyentuh tentang kepentingan identiti masyarakat momogun.

Madius berkata demikian ketika ditemui media dalam majlis pelancaran pemakaian baju tradisi di sini hari ini.

“Antara kelantangan perjuangan Parti Upko adalah dari segi budaya. Justeru, pada tahun lepas, Upko telah mengemukakan satu usul bersempena kongres Upko 2018 mengenai pakaian tradisi sebagai pakaian rasmi ke pejabat serta majlis rasmi. Tahun ini kerajaan Sabah telah meluluskannya,” ujar Madius.

Menurut Madius, pakaian tradisi merupakan salah satu identiti masyarakat momogun yang boleh dilihat secara fizikal. Justeru kelulusan pakaian tradisi sebagai salah satu pakaian rasmi ke tempat kerja dan acara rasmi merupakan satu pencapaian dan kejayaan Upko yang patut dibanggakan.

“Saya sedar, ramai pihak diluar sana memandang isu ini sebagai isu remeh yang tidak perlu digembar-gembur namun saya mewakili parti Upko dengan tegas menyatakan ini adalah pencapaian yang besar dalam melestarikan sesebuah budaya suku bangsa,” tambah Madius.

Madius yang juga menteri Perdagangan dan Perindustrian (KPP) menyatakan tentang pakaian tradisi untuk ke majlis rasmi atau ke pejabat tidak semestinya pakaian tradisi asli tetapi ianya dibolehkan dalam bentuk pakaian korporat bermotifkan corak pakaian tradisi yang bersesuaian.

Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan & Perindustrian Datuk Madiyem Layapan (Tradisi biru) bersama para pegawai atasan KPP.

Sementara itu, Datuk Madiyem Layapan Setiausaha Tetap KPP ketika ditemui turut menyatakan tanda sokongannya terhadap usaha memartabatkan budaya suku bangsa melalui pemakaian pakaian tradisi ke pejabat.

“Saya berbangga melihat para pegawai dan kakitangan kementerian saya mengenakan busana suku etnik di Sabah. Ia memperlihatkan bahawa Sabah begitu kaya dengan kepelbagaian budaya yang unik dan tidak sepatutnya hilang ditelan zaman. Ini antara usaha murni yang sememangnya patut disokong pihak kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Melvin Disimond Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Sdn Bhd. salah satu agensi di bawah KPP turut hadir ketika itu melahirkan rasa terujanya untuk melihat para kakitangan di agensinya untuk turut serta memakai pakaian tradisi ke pejabat kelak.

“Saya sangat teruja untuk melihat semua kakitangan mengenakan pakaian tradisi setiap khamis ke pejabat dan saya berpendapat ini juga menjadi salah satu sumber ekonomi kepada tukang jahit baju. Syukurlah, budaya kita dapat diperkenalkan disamping ekonomi Sabah dapat ditingkatkan,” katanya.

Setiausaha Sulit Kepada Timbalan Ketua Menteri/Menteri Perdagangan & Perindustrian Tuan Verus Gomit diapit oleh para pegawai dan kakitangan wanita KPP.

Turut ditemubual, Verus Agustine Gomit Setiausaha Sulit kepada menteri KPP berkata    masyarakat tidak sepatutnya memandang remeh isu identiti budaya kerana jika tidak dipraktikkan oleh masyarakat pendukung maka tidak mustahil ia akan lenyap suatu masa nanti.

Menurut Verus, bahasa Ibunda yang sepatutnya dijadikan bahasa pertuturan seharian semakin terhakis dalam kalangan anak muda kini apatah lagi pakaian tradisi jika tidak dimartabatkan pemakaiannya.

Bagi pegawai dan kakitangan wanita, majoriti mereka sangat menyokong kelulusan pemakaian pakaian tradisi ke pejabat.

Janecarr Yado, pegawai Komunikasi KPP ketika ditemui berkata wanita adalah golongan yang teruja apabila dikaitkan dengan pakaian. Justeru, dengan kelulusan ini pegawai dan kakitangan wanita mempunyai ruang dalam memvariasikan pakaian kerja sekaligus dapat mengenali pakaian tradisi pelbagai suku kaum di Sabah.

Disamping itu, Anne Chan penolong Akauntan kementerian Perdagangan dan Perindustrian  ketika ditemui turut melahirkan tanda sokongan dan menyambut baik usaha itu.

” Negara kita mempunyai masyarakat yang multi kaum dan etnik apatah lagi di Sabah. Jika sebelum ini, kita hanya melihat baju kurung sebagai baju rasmi ke pejabat, kini saya juga berbangga memakai baju cheongsam,” katanya.