Ratusan ahli Bersatu dijangka sertai PKR, kata sumber

Ratusan ahli akar umbi Bersatu kononnya dijangka menyertai PKR atas pelbagai sebab, termasuk ketidakupayaan untuk memajukan kerjaya politik mereka dalam parti berasaskan Melayu itu, kata sumber PKR.

Sumber yang enggan dikenali itu berkata, ahli Bersatu juga mahu membantu sekutu tertentu dalam PKR meningkatkan kempen mereka dalam pemilihan PKR, yang dijangka diadakan akhir tahun ini atau awal 2025.

Sumber itu berkata beberapa ahli akar umbi dari Bersatu sama ada menyertai atau dalam proses menyertai parti yang diketuai Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

“Sebahagian besar ahli Bersatu meninggalkan Umno untuk memajukan kerjaya politik mereka,” katanya dalam laporan Free Malaysia Today hari ini.

“Tetapi sekarang, mereka merasakan mereka mempunyai ruang terhad untuk berkembang, melainkan mereka bersekutu dengan pemimpin Bersatu tertentu.”

Beliau berkata mereka yang keluar termasuk pemimpin bahagian Bersatu dan jumlah itu dijangka meningkat “menjelang akhir Ramadan”.

Bekas anggota Bersatu yang menyertai PKR baru-baru ini termasuk bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Faiz Na’aman dan bekas Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah.

Dalam catatan Facebook pada Ahad, Faiz berkata beliau dan Adhif telah diterima sebagai ahli PKR.

Bercakap kepada FMT, sumber itu berkata ada beberapa yang mengintai jawatan dalam pemilihan PKR sudah mula mengumpulkan sokongan daripada ahli akar umbi dalam PKR serta Bersatu.

“Ahli Bersatu sama ada akan menyertai PKR secara langsung atau bermula dengan menyertai NGO mesra PKR dan kemudian membuat langkah mereka dari situ,” katanya.

Pengerusi salah sebuah NGO itu, Aidi Amin Yazid, berkata beberapa ahli Bersatu baru-baru ini menyertai kumpulannya, Pertubuhan Jaringan Insan Madani.

Beliau berkata beberapa ahli Bersatu juga telah menghubunginya untuk mendapatkan nasihat mengenai perjalanan politik mereka.

“Saya sentiasa menasihatkan mereka untuk terus berpegang kepada matlamat mereka. Selepas melihat nasib sendiri pada PRN baru-baru ini, saya menekankan kepentingan bersabar,” katanya.

Aidi pada asalnya dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Kota Damansara pada PRN Selangor Ogos lalu. Bagaimanapun, beliau digantikan Izuan Ahmad Kasim pada saat akhir.